FMT Reporters

May 27, 2018

Persatuan Peguam Syarie Malaysia membantah usaha membubarkan Jakim yang diberi peranan penting oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dulu.

Musa Awang Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

(Gambar facebook)

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membantah usaha membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana peranan penting yang diberikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dulu.

Presiden Musa Awang berkata Jakim ditubuhkan pada 1997 sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Dr Mahathir.

“Dr Mahathir pada 6 Februari 2018 mempertahankan penubuhan Jakim di bawah pemerintahannya dengan berkata ia bertujuan mendekatkan kerajaan kepada ajaran Islam.

“Dr Mahathir juga menjelaskan penubuhan Jakim kerana hendak mendekatkan kerajaan dengan ajaran Islam supaya apa yang kita lakukan (dalam pentadbiran) tidak bercanggah dengan Islam.

“Dalam kenyataan tersebut juga, Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan akan berbincang untuk mengekalkan Jakim sekiranya gabungan itu berjaya merampas Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.

Musa berkata penubuhan Jakim bukan untuk menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara aman dan damai.

Menjawab hujah mengatakan agama adalah peribadi maka tidak wajar dana awam dibelanjakan untuk penguatkuasaan agama, Musa berkata perbelanjaan itu sebenarnya sah berdasarkan Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Yang berbunyi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu,” katanya.

Leave a Reply

Close Menu