Berita Harian

4 Apr 2017

Kuala Lumpur : Elemen status agama anak dalam pindaan Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) bertentangan dengan Artikel 12, Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan berkenaan menyebut status agama anak seorang daripada pasangan memeluk Islam hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata Perlembagaan mentakrifkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini bagaimanapun, agama lain bebas diamalkan di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, ibu atau bapa mempunyai hak menentukan agama anak mereka dan sekiranya berlaku perceraian, status agama anak kepada pasangan yang memeluk Islam adalah automatik sebagai Islam.

“Persatuan hanya bersetuju dengan satu elemen dalam pindaan Akta 164, iaitu pembubaran perkahwinan dijalankan di Mahkamah Sivil.

Anak perlu bimbingan agama

“Beberapa elemen lain seperti isu status agama anak ada dibincangkan sebelum ini, bagaimanapun ramai pihak menentang keputusan membiarkan status agama anak dibuat selepas umur 18 tahun kerana anak memerlukan bimbingan agama daripada kecil,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Membaharui Undangundang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Musa berkata, pihaknya turut merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-87 pada Jun tahun 2009 turut memutuskan apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Ibu atau bapa mempunyai hak menentukan agama anak mereka dan sekiranya berlaku perceraian, status agama anak kepada pasangan yang memeluk Islam adalah automatik sebagai Islam” Musa Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Leave a Reply

Close Menu