SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR

26 MEI 2018

SINAR HARIAN

SHAH ALAM – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membidas pihak mempersoalkan penyaluran dana awam untuk membiayai institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, tindakan kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan perbelanjaan untuk agama Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara tersebut berbunyi : ‘…adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, seorang wanita di Twitter menggesa kerajaan menghapuskan institusi agama Islam di negara ini seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menurut wanita itu, kerajaan tidak wajar menggunakan dana awam untuk membiayai institusi berkenaan kerana isu agama adalah hak peribadi.

Mengulas lanjut, Musa berkata, penubuhan Jakim tidak akan sesekali menyekat hak orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka seperti diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam di negara ini menentang sebarang usaha untuk menghapuskan Jakim.

Katanya, tujuan penubuhan Jakim ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997 adalah bertujuan mendekatkan kerajaan kepada ajaran Islam.

“Tun Mahathir pernah menjelaskan penubuhan Jakim kerana hendak mendekatkan kerajaan dengan ajaran Islam supaya apa yang kita lakukan (dalam pentadbiran) tidak bercanggah dengan Islam.

“Dalam kenyataan sama juga, Mahathir berkata Pakatan Harapan akan berbincang untuk mengekalkan Jakim, sekiranya gabungan itu berjaya merampas Putrajaya,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/jakim-berhak-dapat-dana-kerajaan-1.839231

Leave a Reply

Close Menu