Kuala Lumpur: Penguatkuasaan keadilan syariah terhadap wanita yang diabaikan bayaran nafkah oleh bekas suami selepas perceraian mampu memberi pembelaan sewajarnya kepada golongan itu.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang menyambut baik dan mengalu-alukan cadangan itu bagi membela nasib ibu tunggal khususnya yang sudah ada perintah mahkamah untuk mendapat bayaran nafkah.

Begitupun, kata Musa, beberapa perkara perlu diperincikan terutama dari segi bidang kuasa mahkamah syariah untuk mengarahkan sekatan bank bagi pembayaran nafkah.

Katanya, sementara perkara itu direalisasikan, banyak mekanisme lain yang boleh dilaksanakan dan sudah pun ada dalam peruntukan undang-undang seperti tahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang kakitangan kerajaan atau swasta dan arahan tetap potongan wang.

“Masalah utama si ibu atau wanita adalah kesukaran untuk turun naik mahkamah bagi menuntut bayaran nafkah.

“Mereka terpaksa bekerja bagi mencari nafkah dan pada masa yang sama, terpaksa menguruskan proses serta urusan mahkamah,” katanya.

Menurut Musa lagi, persatuan misalnya turut menyediakan Pusat Bantuan Guaman Syarie untuk membantu golongan berkenaan namun pelaksanaannya terhad kerana kekangan dana untuk menggerakkan pusat terbabit.

Bantu NGO tawar khidmat guaman kepada ibu tunggal

“Justeru, kerajaan seharusnya membantu NGO yang boleh menawarkan khidmat guaman kepada golongan ibu tunggal bagi membawa tuntutan mereka ke mahkamah,” katanya.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Iman Kuala Lumpur (WITUS), Shiella Tukimin, mengalu-alukan langkah itu kerana sudah tiba masanya proses perceraian dan perundangan syariah di negara ini ditambah baik bagi memastikan golongan ibu tunggal tidak terus ditindas.

Beliau berkata, ramai wanita yang baru bercerai dibiarkan ‘terkontang-kanting’ untuk menyara anak tanpa bayaran nafkah daripada bekas suami.

“Selepas kes perceraian difailkan, wanita perlu menunggu bertahun-tahun lamanya sebelum kes diselesaikan dan dalam tempoh berkenaan, mereka perlu berdikari untuk menyara diri dan anak yang ditinggalkan.

“Sepatutnya, lelaki perlu membayar nafkah kepada bekas isterinya sebaik sahaja kes perceraian dilaporkan dan bukan selepas keputusan mahkamah.

“Ramai lelaki culas untuk membayar nafkah, ada yang menghilangkan diri dan ada juga yang memberi pelbagai alasan kepada mahkamah semata-mata untuk mengelakkan daripada menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Dasar bela nasib wanita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, semalam berkata kerajaan sedang memperincikan penguatkuasaan keadilan syariah bagi memberi pembelaan kepada wanita dan anak yang tidak dibayar nafkah selepas perceraian termasuk kemungkinan dikenakan sekatan akaun bank milik bekas suami.

Shiella berkata, berdasarkan pengalaman peribadinya, beliau berdepan kerenah birokrasi mahkamah syariah yang mengambil masa selama sembilan tahun sebelum kesnya perceraian di muktamadkan.

Dalam tempoh itu kata Shiella, bekas suaminya tidak memberi satu sen pun nafkah untuknya dan dua anak mereka.

“Jika perundangan dan keadilan syariah ditambah baik termasuk mengenakan sekatan bank, saya yakin wanita yang diceraikan tidak akan teraniaya dan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Pengerusi Persatuan Inspirasi Ibu Tunggal dan Wanita (PIWANI), Zubaidah Abdul Rashid berkata, jika langkah itu dapat direalisasikan, ia adalah berita yang paling ditunggu-tunggu oleh ibu tunggal di negara ini.

Katanya, kebanyakan wanita yang diceraikan tidak mendapat bayaran nafkah yang sepatutnya kerana tiada tindakan undang-undang berat dikenakan kepada lelaki jika mereka liat membayarnya.

“Kami (golongan ibu tunggal) perlu turun naik mahkamah dan seolah-olah terpaksa mengemis meminta ihsan bekas suami supaya membayar nafkah untuk ‘darah daging’ mereka sendiri.

“Jika mahkamah mengeluarkan arahan untuk bekas suami membayar nafkah setiap bulan sekali pun, mereka tetap liat kerana tiada penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

“Jika ada penguatkuasaan membabitkan akaun bank, pasti mereka (golongan yang culas membayar nafkah) tidak akan alpa untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beberapa perkara perlu diperincikan terutama dari segi bidang kuasa mahkamah syariah untuk mengarahkan sekatan bank bagi pembayaran nafkah” Musa Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Leave a Reply

Close Menu