Presiden Persatuan Peguam Syarie, Musa Awang bersetuju cadangan pindaan undang-undang dapat mengurangkan perkahwinan bawah umur, terutama dalam kalangan orang Islam.

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengharapkan agar pindaan terhadap 2 akta yang dicadangkan oleh kerajaan tahun depan tidak akan mengharamkan atau menutup terus keharusan untuk berkahwin di bawah umur.

Presiden PGSM Musa Awang berkata, ini kerana perkahwinan bawah umur masih boleh dibenarkan dalam keadaan khas.

“Dengan mengambil kira aspek latar belakang, pendidikan, sosio-ekonomi, keupayaan fizikal, mental, psikologi, pertimbangan hakim dan pemantauan oleh ibu bapa, perkahwinan bawah umur boleh dibenarkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan kerajaan untuk meminda 2 akta pada tahun depan dalam usaha mengetatkan syarat kelayakan bagi perkahwinan bawah umur.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, 2 akta yang yang akan dipinda ialah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Mengulas lanjut, Musa bersetuju cadangan pindaan itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perkahwinan bawah umur terutama dalam kalangan orang Islam.

Dalam pada itu, peguam syarie, Nizam Bashir pula berpendapat pindaan kepada 2 akta itu adalah suatu langkah permulaan di peringkat kerajaan pusat dan perlu diikuti oleh pindaan serupa di negeri.

“Langkah-langkah juga perlu diambil di negeri lain dengan membuat pindaan ke atas enakmen keluarga masing-masing, agar langkah kerajaan pusat turut dudukung oleh kerajaan negeri.

“Dalam masa yang sama, kerajaan pusat dan negeri juga perlu meneliti sama ada aspek bantuan kebajikan perlu disemak semula memandangkan antara punca perkahwinan bawah umur adalah kemiskinan keluarga terbabit,” katanya.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kewujudan usia perkahwinan minimum mandatori dengan jelas menunjukkan tidak akan ada lagi kuasa budi bicara diberikan kepada mahkamah.

Katanya, ketiadaan kuasa budi bicara mahkamah akan mendorong pasangan bawah umur untuk “lari” ke negara lain yang mempunyai kelonggaran untuk bernikah dan kemudiannya mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini, sekali gus menggagalkan usaha untuk menghalang perkahwinan bawah umur.

Beliau berkata, kuasa budi bicara mahkamah perlu dikekalkan bagi menangani keadaan khas yang dikemukakan kepadanya dalam isu perkahwinan bawah umur.

“Tanpa kuasa budi bicara mahkamah, matlamat akhir penetapan usia minimum perkahwinan mandatori mungkin tidak tercapai. Adakalanya, kewujudan budi bicara hakim syarie ada kebaikannya atas asas ‘case to case’, lebih-lebih lagi bilangan kes sebegini adalah kecil,” katanya.

Ketika menjawab pertanyaan wakil Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat minggu lepas, Wan Azizah, yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, dalam usaha menaikkan umur minimum perkahwinan, kementerian sudah membentangkan hasrat itu dalam mesyuarat pre-council Majlis Raja-Raja dan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) pada 16 Oktober lepas.

“Mesyuarat MBKM secara spesifik memutuskan secara konsensus supaya umur perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun untuk lelaki dan wanita,” katanya, dan menambah, kementerian berharap kerajaan negeri berjalan seiring dengan kerajaan persekutuan dalam usaha menangani perkahwinan bawah umur di negeri masing-masing.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki untuk berkahwin adalah 18 tahun, manakala bagi perempuan 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran Mahkamah Syariah dan persetujuan ibu bapa.

Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk membenar atau menghalang sesuatu permohonan perkahwinan bawah umur setelah mempertimbang keperluan perkahwinan itu.

Manakala bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Sekiranya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan mahkamah.

Leave a Reply

Close Menu