Harian Metro

12 Jan 2018

Musa Awang

Apabila seseorang Islam meninggal dunia, kebiasaannya harta sepeninggalan si mati akan dibahagikan secara faraid, iaitu apabila pemilik harta tidak membahagikan harta ketika hayatnya. Pembahagian harta boleh juga dilakukan oleh seseorang ketika hidup melalui cara pemberian hibah, pemindahan hak milik atau wasiat.

Hukum faraid tidak akan terpakai jika si mati sebelum kematiannya sudah memindahkan hartanya kepada orang lain. Pembahagian atau pemindahan harta ketika hidup kepada anak atau seseorang yang lain boleh dilakukan dengan beberapa cara berikut :

Hibah – Hibah ialah pemberian hak atau harta secara sukarela tanpa paksaan daripada satu pihak kepada satu pihak lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat, bayaran, imbalan atau balasan.

Dalam Kitab I’annatul Taalbin, juzuk ketiga, di muka surat 168 mendefinisikan hibah sebagai: “Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.”

Pemberian hibah dilakukan ketika seseorang masih hidup dan sihat, pelaksanaannya juga biasa dilakukan ketika pemberi hibah masih hidup. Hibah tidak akan berlaku jika pemberi hibah sekadar berhasrat dan berura-ura saja, tetapi kemudian pemberi hibah meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakan pemberiannya.

Dalam keadaan itu, hukum hibah itu mungkin akan berubah menjadi wasiat atau amanah saja.

Seseorang yang ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah perlu memenuhi rukun hibah untuk menjadikan akad hibah itu sah, iaitu wujudnya lafaz ijab qabul yang jelas daripada pemberi hibah kepada penerima hibah, perlu ditentukan mana-mana harta yang mahu dihibahkan, harta tersebut dimiliki secara sempurna oleh pemilik, tidak bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak dan dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup.

Hibah boleh dilakukan secara bertulis atau secara lisan, malah hibah yang dibuat secara lisan perlu diperkukuhkan dengan bukti bertulis atau dengan mengemukakan saksi.

Pada hari ini, pemberian hibah dilakukan dengan menandatangani suatu dokumen deklarasi hibah yang ditandatangani oleh pemilik harta ketika dia masih hidup. Apabila berlaku kematian, maka penerima hibah akan membuat pengesahan hibah itu di Mahkamah Syariah.

Wasiat – Wasiat adalah suatu peluang kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta yang mereka akan tinggalkan kepada orang selain daripada ahli waris atau kepada pihak tertentu yang pada pendapat mereka wajar diberikan sebahagian harta mereka.

Pemberian harta secara wasiat mesti berlandaskan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul. Harta yang diwasiatkan juga hendaklah harta yang dimiliki secara sempurna, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Di dalam isu pemberian wasiat, ada dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu, pertama, harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah keseluruhan harta si mati. Ini berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadis riwayat Abu Daud R.A bahawa Rasulullah SAW telah mengehadkan wasiat kepada satu pertiga saja.

Syarat kedua, wasiat harta tidak boleh diberikan kepada waris yang tersenarai sebagai penerima faraid seperti ibu, bapa atau anak. Wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan ahli waris. Dalam hadis riwayat Abu Daud R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat kepada ahli waris.”

Jika seseorang masih ingin mewasiatkan semua harta (melebihi 1/3) atau ingin mewasiatkan harta kepada ahli waris, merujuk kepada nas dan pendapat utama Mazhab Syafie, wasiat berkenaan hukumnya harus, akan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan daripada semua waris lain.

Persetujuan itu perlu dibuat ketika pembuat wasiat hidup dan disahkan semula selepas beliau meninggal dunia. Penerima wasiat atau mana-mana ahli waris boleh membuat pengesahan wasiat itu di mahkamah syariah, sama ada wasiat si mati sah atau tidak. Jika terdapat mana-mana ahli waris yang menolak persetujuan itu, maka hukum asal adalah terpakai, iaitu wasiat kepada ahli waris adalah tidak diharuskan.

Pindah milik – Pembahagian harta berupa tanah atau rumah boleh dilakukan secara pindah milik berdasarkan syarat dan prosedur yang ditetapkan undang-undang iaitu menggunakan Borang 14A, Kanun Tanah Negara, iaitu secara balasan kasih sayang.

Jika pindah milik dilakukan oleh ibu atau bapa kepada anak menggunakan kaedah ini, maka ibu atau bapa itu bukan lagi pemilik berdaftar harta berkenaan.

Ia menjadi hak milik anak. Risikonya berkemungkinan anak akan menghalau ibu bapa daripada menduduki harta itu atau menjual harta berkenaan kerana dihasut pihak ketiga dan sebagainya.

Proses pindah milik dengan cara ini juga hanya boleh dilakukan jika harta itu menjadi milikan sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Surat Ikatan Pemegang Amanah (Trust Deed) – Asalnya Trust Deed digunakan untuk ‘memindahkan’ nama daripada ibu bapa kepada anak atau kepada seseorang yang lain, semasa masih hidup.

Katakan seseorang mempunyai tanah satu ekar dan mempunyai dua anak dan dia mahu setiap seorang dapat setengah (1/2) bahagian untuk tanah itu. Maka dalam Trust Deed berkenaan perlu dinamakan dan diletakkan bahagian yang diberikan kepada setiap anak itu, sebelum difailkan ke pejabat tanah.

Nama pemilik asal akan dibatalkan, sebaliknya akan didaftarkan sebagai pemegang amanah kepada anak.

Selepas kematian, anak perlu membuat tuntutan pusaka di Pejabat Pusaka Kecil (jika harta bawah RM2 juta) atau di Mahkamah Tinggi (jika harta lebih RM2 juta), sebagai bukti pemberian bahagian tanah telah dilaksanakan sebelum ini di pejabat tanah secara bertulis melalui Trust Deed.

Selepas perintah atau penghakiman dikeluarkan, maka anak perlu membawa perintah atau penghakiman tersebut ke pejabat tanah untuk mendaftarkan nama mereka di dalam geran sebagai pemilik mengikut bahagian masing-masing.

Proses pendaftaran Trust Deed juga hanya boleh dilakukan jika hartanah itu bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances), iaitu tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada sebarang kaveat oleh mana-mana pihak. Mutakhir ini, ada pihak yang menawarkan khidmat menyediakan dokumen hibah, wasiat dan lain-lain. Perlu dipastikan dokumen yang disediakan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang kerana jika jika berlaku sebaliknya, ia tidak boleh dilaksanakan.

Ini bukan saja merugikan pelbagai pihak, membuang masa, tidak memenuhi hasrat pemilik asal harta, kadang-kadang boleh menimbulkan perbalahan di kalangan ahli keluarga.

Rujuklah peguam syarie bertauliah dalam memastikan anda mendapat nasihat yang betul mengenai pembahagian harta ketika masih hidup.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel: [email protected]

Leave a Reply

Close Menu