PKP: PGSM gesa bantuan ‘one-off’ kepada Peguam Syarie

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini menggesa Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) memberi bantuan ‘one-off’ sekurang-kurangnya RM1,000 kepada setiap Peguam Syarie sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden PGSM Musa Awang berkata lebih 3,500 Peguam Syarie di seluruh negara hilang sumber pendapatan berikutan semua prosiding di Mahkamah Syariah ditangguhkan sepanjang PKP, yang berlangsung sehingga 14 April ini.

Selain itu,beliau memohon MAIN mengecualikan bayaran pembaharuan sijil amalan tahunan sekurang-kurangnya RM100 hingga RM250 setahun bagi meringankan beban peguam syarie sepanjang pandemik Covid-19.

“Peguam Syarie adalah mereka yang berkelayakan yang diberikan Sijil Peguam Syarie oleh Majlis Agama Islam di negeri-negeri dengan membayar fi tertentu pada setiap tahun supaya mereka dapat melaksanakan amalan guaman di mahkamah syariah.

“Sumber pendapatan Peguam Syarie adalah bergantung sepenuhnya kepada fi guaman yang dibayar oleh anak guam bagi mewakli anak guam sepanjang perbicaraan di mahkamah syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Musa mendakwa ada pejabat atau firma Peguam Syarie yang terpaksa ditutup dan bayaran guaman tidak dapat dikutip daripada anak guam.

Sehubungan itu, katanya PGSM berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan dalam bentuk geran untuk membantu para Peguam Syarie.

PGSM juga merayu kepada kerajaan agar menghentikan sementara sumbangan mandatori majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.

“Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, simpanan peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan juga perlu dilunaskan.

“Malah, sebahagian besar Peguam Syarie adalah peguam muda yang baru membina kerjaya dan belum kukuh ekonomi dan kewangan mereka. Begitu juga Pelatih Dalam Kamar yang baharu tamat pengajian dan sedang menjalani latihan di firma-firma Peguam Syarie,” katanya.

Sumber: malaysiakini.com