Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)
Sekretariat PGSM
d/a Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan No. 71, Jalan Sri Hartamas, Taman Sri Hartamas, 50676 Kuala Lumpur
Tel : 03-6205 7000 sambungan 184. 03-55114391. 019-3870105 (Presiden)
No. Mobile : 011-6458 2600. Faks : 03-55245100
www.pgsm.org.my E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com
Khamis, 24 Mac 2022
bersamaan 21 Sya’ban, 1443H
KENYATAAN MEDIA
BERHUBUNG PERSETUJUAN KERAJAAN UNTUK MENCADANGKAN SUPAYA HAKIM MAHKAMAH SYARIAH MEMBUAT PENYELESAIAN PERINTAH SECARA SERENTAK BAGI PERMOHONAN PERCERAIAN DAN TUNTUTAN NAFKAH ISTERI/ANAK-ANAK
Berhubung kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu 23 Mac 2022 selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi membincangkan mengenai isu membabitkan undang-undang syariah, maka dengan ini, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengeluarkan kenyataan media sepertimana berikut:
PGSM menyambut baik cadangan YAB Perdana Menteri supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak, bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.
Amalan sekarang ini, satu persatu kes difailkan ke mahkamah, iaitu diselesaikan kes perceraian terlebih dahulu kemudian barulah difailkan tuntutan nafkah iddah dan nafkah anak-anak. Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak-pihak berhubung jumlah atau kadar nafkah.
Tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah kebiasaannya akan tergolong dalam (3) kategori berikut :
(1) Pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah
(2) Perceraian dengan talaq atau Perintah (Seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam); atau
(3) Perceraian secara taklik (berdasarkan taklik surat nikah) atau fasakh (pembubaran perkahwinan dengan perintah Hakim), li’an dll.Bagi kategori (1) – Pengesahan lafaz cerai di luar Mahkamah, semasa isteri hadir untuk memfailkan tuntutan pengesahan perceraian, maka boleh dapatkan kepastian daripada isteri samada berlaku rujuk semula dengan pasangan. Jika tidak berlaku rujuk (atau perceraian talak 3), maka isteri boleh dinasihatkan untuk memfailkan sekali tuntutan nafkah iddah dan/atau nafkah anak-anak. Kes-kes yang difailkan tersebut boleh ditetapkan serentak pada tarikh pendengaran yang sama.
Dalam memutuskan jumlah nafkah iddah dan/atau kadar nafkah anak-anak, Hakim boleh mendapatkan persetujuan pihak-pihak untuk dijadikan sebagai Perintah Mahkamah. Sekiranya tiada persetujuan berhubung jumlah/kadar nafkah, maka Hakim boleh meneruskan dahulu tuntutan pengesahan perceraian tersebut dan menetapkan tarikh untuk melengkapkan pliding dokumen masing-masing bagi kes nafkah.
Bagi kategori (2) – Perceraian dengan talaq atau Perintah (Seksyen 47), di dalam Sub-Seksyen 47 (1) (f) Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri telah memperuntukkan bahawa-
“(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu akuan mengandungi-(f) syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu;”
Ini bermaksud bahawa sesuatu tuntutan perceraian di bawah kategori ini (jika difailkan oleh isteri) maka isteri perlu nyatakan kadar nafkah iddah isteri dan kadar nafkah anak-anak yang hendak dituntut; dan (jika difailkan oleh suami) maka suami perlu cadangkan kadar nafkah iddah isteri dan kadar nafkah anak-anak yang akan dibayar setelah berlaku perceraian.
Semasa membenarkan suami melafazkan cerai, Hakim boleh mendapatkan persetujuan pihak-pihak berdasarkan apa yang dinyatakan dalam dokumen permohonan cerai tersebut, berkenaan dengan kadar nafkah iddah dan/atau nafkah anak-anak, untuk dijadikan sebagai Perintah Mahkamah.
Manakala bagi kategori (3) – Perceraian secara taklik (berdasarkan surat nikah) atau fasakh, li’an dll, ia mungkin sukar diputuskan serentak kerana dalam kes-kes sebegini kadang-kadang ia diputuskan tanpa kehadiran suami (ghaib, hilang, tidak hadir dsbg.nya).- Berdasarkan peruntukan undang-undang, nafkah anak-anak boleh dituntut samada suami isteri telah disahkan bercerai atau belum bercerai. Seksyen 72 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam menyatakan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anak-anaknya berupa tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran (yang munasabah), samada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain. Seksyen 72 berbunyi –
Kewajipan menanggung nafkah anak.1)Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
Ini bermaksud bahawa, walaupun lafaz perceraian belum disahkan oleh Mahkamah, atau pihak-pihak belum lagi bercerai, tuntutan nafkah anak-anak boleh difailkan ke Mahkamah, dan Hakim Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan kadar nafkah anak-anak yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupan pihak-pihak.
- Sekiranya suami (bapa) bersetuju dengan kadar nafkah yang dicadangkan oleh isteri (ibu) atau mungkin lebih sedikit daripada jumlah yang dicadangkan berdasarkan kemampuan suami, maka dengan persetujuan itu Mahkamah boleh memerintahkannya sebagai perintah.
- Pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah pun mengeluarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 5 Tahun 2019 – Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak yang boleh dijadikan panduan oleh Hakim-Hakim Syariah dalam membuat penentuan kadar nafkah yang munasabah.
- PGSM optimis bahawa cadangan YAB Perdana Menteri ini boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya mendapat kerjasama semua pihak yang terlibat samada di pihak litigan, Mahkamah Syariah termasuk Peguam-Peguam Syarie, dengan meletakkan matlamat memberikan keadilan sebagai keutamaan.
Sekian, untuk siaran.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”
Yang benar,
MUSA AWANG
Presiden,
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Khamis, 24 Mac, 2022