PUTRAJAYA: Semua undang-undang, prosedur dan tatakelola kehakiman serta perundangan di Mahkamah Syariah perlu diselaraskan di seluruh negara, gesa Presiden Persatuan Peguam Syarie (PGSM) Musa Awang.
Beliau berkata secara peribadi berdasarkan pengalamannya di beberapa negeri, mendapati perbezaan itu menyebabkan pengamal undang-undang syariah ‘letih’ dan ‘penat’.
“Contoh mudah, tuntutan pengesahan lafaz cerai atau poligami, ada negeri yang memulakan prosiding dengan saman dan pernyataan tuntutan, tetapi ada juga negeri yang menggunakan permohonan serta afidavit.
“Mengapa perkara sekecil ini tidak dapat kita diselaraskan. Begitu juga sesetengah peruntukan undang-undang terdapat di sesetengah negeri tetapi tiada di negeri lain,” katanya dala Wacana Kehakiman dan Perundangan Syariah Tahun 2024.
November lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Anwar berkata sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung prosiding mencabar perlembagaan oleh dua wanita beragama Islam itu tidak akan menghalang usaha kerajaan untuk terus memperkasa Mahkamah Syariah melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.
Musa berkata pelarasan itu juga penting untuk mengelakkan kekurangan ada tidak dicabar di platform undang-undang lain seperti berlaku dalam beberapa kes.
“Contohnya kes Indira Gandhi lawan pengarah jabatan agama Islam Perak, Iki Putra Mubarak lawan kerajaan Selangor dan kes Nik Elin Zurina Abdul Rashid lawan kerajaan Kelantan,” katanya.
Sumber: freemalaysiatoday.com