SHAH ALAM – Isu pelantikan Peguam Negara perlu berlaku secara tertutup, penuh beradab dan berhemah tanpa sebarang pendedahan kepada media.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, pendedahan tersebut akan menimbulkan spekulasi dan persepsi negatif dalam proses pemilihan tersebut.
“Ia juga sedikit sebanyak merendahkan institusi raja dan memaparkan sikap tidak profesional kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, isu membabitkan pelantikan Peguam Negara kecoh selepas sebuah portal berita melaporkan cadangan kerajaan mahu melantik peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas masih belum mendapat maklum balas daripada pihak istana.
Sementara itu, Musa turut menegaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam pelantikan Peguam Negara disebut dalam Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara.
“Dalam mengikut nasihat Perdana Menteri, adakah Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan atau budi bicara baginda? Saya berpandangan Yang di-Pertuan Agong dalam bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, perlu melihat kedudukan baginda sebagai ketua negara.
“Nasihat bermaksud memberikan pandangan yang baik sifatnya, untuk kepentingan seluruh masyarakat dalam negara. Nasihat bukan suatu arahan, kerana dalam kedudukan Perdana Menteri dan Kabinet yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bagaimana mereka hendak mengarahkan seorang ketua negara?,” soalnya.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong berada pada kedudukan lebih tinggi akan menilai nasihat tersebut berdasarkan kebijaksanaan, amanah dan sumpah baginda untuk mempertahankan agama Islam pada setiap masa.