Wajibkan sesi kaunseling sebelum mohon cerai

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengekang dan mengawal masalah perceraian melibatkan perkahwinan bawah lima tahun yang disebabkan alasan remeh.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, keadaan tersebut memerlukan pencegahan holistik agar perceraian disebabkan alasan-alasan remeh tidak berterusan dan menjejaskan institusi kekeluargaan.

Katanya, PGSM mencadangkan agar sesi kaunseling diwajibkan kepada setiap pasangan yang hendak memfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.

“Pasangan yang hendak memohon perceraian hendaklah melampirkan laporan kaunseling atau surat pengesahan bahawa mereka telah melalui proses kaunseling, sebelum dibenarkan memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah syariah.

“Sekiranya semasa dalam prosiding perceraian tiada bukti ditunjukkan bahawa mereka telah menghadiri sesi kaunseling, maka hakim hendaklah mengarahkan mereka menghadiri sesi kaunseling terlebih dahulu sebelum kes mereka didengar semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, sesi kaunseling tidak perlu dihadkan di Jabatan Agama Islam Negeri sahaja, tetapi terbuka juga kepada kaunselor-kaunselor bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).

“Jabatan agama Islam negeri juga perlulah mengambil usaha mempertingkatkan tahap akademik, kualiti dan kepakaran pegawai-pegawai kaunseling di jabatan, dari semasa ke semasa,” katanya.

Musa berkata, masalah ini perlu dikekang walaupun PGSM mengalu-alukan usaha mahkamah yariah untuk memudahkan dan mempercepatkan proses perceraian.

“Jika tidak, saban tahun kita akan mendengar laporan statistik perceraian yang meningkat atas alasan-alasan remeh yang boleh membuat orang bukan Islam tersenyum sinis kepada orang Islam,” katanya.