Kuala Lumpur: Diyat atau ganti rugi tidak terpakai dalam semua kesalahan jenayah, tetapi khusus kepada jenayah yang membabitkan mangsa seperti pembunuhan atau mendatangkan kecederaan.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata sifat diyat pula bukanlah bersifat gantirugi secara mutlak, akan tetapi diyat ialah suatu hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang Islam atas kesalahan membunuh dan mencederakan di samping hukuman qisas.
Menurutnya, diyat adalah suatu jumlah kadar tertentu harta dibayar oleh pihak yang menyebabkan berlakunya kematian atau kecederaan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja kepada pihak yang menjadi mangsa pembunuhan dan kecederaan berkenaan.
“Sifat diyat ialah sebagai hukuman alternatif kepada hukuman qisas apabila hukuman itu tidak dapat dilaksanakan dengan sebab-sebab tertentu.
“Ia seperti apabila jenayah berkenaan berlaku sengaja (syibh al-‘amd) atau secara tidak sengaja (khata’) atau apabila hukuman qisas tidak dapat dilaksanakan.
“Diyat bukanlah suatu pilihan kepada penjenayah semata-mata untuk mengelakkan diri daripada dikenakan hukuman qisas. Walaupun pada lahirnya diyat ini dilihat seolah-olah ganti rugi kerana ia membabitkan pembayaran kepada pihak yang menjadi mangsa jenayah, namun sesetengah ulama fikah atau fuqaha’ masih melihatnya sebagai hukuman,” katanya.
Katanya, kewajipan membayar diyat ini, kedudukan wanita sama dengan lelaki, berasaskan prinsip persamaan mereka sebagai subjek jenayah atau dalam memikul beban dan tanggungjawab jenayah.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam titahnya menzahirkan harapan supaya cadangan konsep diyat dapat dilaksanakan di negara ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pelaksanaan hukuman diyat itu sudah dicadangkan oleh Baginda sejak lima hingga enam tahun lalu namun ia masih di peringkat kajian hingga kini.
Sumber: hmetro.com.my