Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)
Sekretariat PGSM
No. AC1-1A, Tingkat 1, Jalan Plumbum AC7/AC, Pusat Komersil Seksyen 7,
40000 Shah Alam Selangor.
Tel : 03-5524 5100. 019-3870105 (Presiden)
No. Mobile : 011-3701 9155 Faks : 03-55245100
www.pgsm.org.my E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com
Selasa, 29 Ogos 2023
bersamaan 12 Safar, 1445H
KENYATAAN MEDIA
BERHUBUNG TITAH DYMM SULTAN SELANGOR, PENGERUSI MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA (“MKI”) BERHUBUNG ISU KOMPETENSI DEWAN UNDANGAN NEGERI
Berhubung titah DYMM Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (“MKI”) pada Isnin supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam kerangkan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, yang perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dibuat.
Berhubung dengan perkara tersebut di atas, maka dengan ini, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengeluarkan kenyataan seperti yang berikut:
- PGSM menjunjung kasih atas keprihatinan DYMM Tuanku sebagai Pengerusi MKI terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.
- Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut adalah sangat tepat dan sesuai pada masanya dalam suasana kebelakangan ini di mana terdapat banyak kes-kes yang sedang dibicarakan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah telah dicabar di Mahkamah Persekutuan khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri di dalam membuat dan meluluskan undang-undang (Syariah) serta bidangkuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya. Cabaran-cabaran tersebut sedikit sebanyak telah memberikan imej dan persepsi negatif terhadap Mahkamah Syariah yang berada di bawah bidangkuasa Dewan Undangan Negeri.
- Konflik bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri wajar diselesaikan dengan segera agar masyarakat dan negara ini dapat bergerak maju ke hadapan.
- Cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut hendaklah berpegang kepada prinsip menghormati pemisahan bidang kuasa antara Negeri dan Persekutuan, dan mestilah mencerminkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3), serta menghormati kuasa eksklusif Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
- Cadangan pindaan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut juga bukan semata-mata tertumpu kepada undang-undang (Syariah) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, malah juga termasuklah pindaan kepada peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu tersebut dapat dilaksanakan.
Sekian, untuk siaran.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”
Yang benar,
MUSA AWANG
Presiden,
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Selasa, 29 Ogos, 2023