Harian Metro
27 Feb 2018
Musa Awang
Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan, gaya kehidupan dalam zaman serba pantas masa ini sedikit sebanyak mempengaruhi budaya, sikap dan pemikiran kepada lebih moden dan ringkas, tidak terkecuali dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu.
Cara berpakaian mempelai serta upacara perkahwinan juga semakin berbeza dengan budaya dan adat perkahwinan tradisi. Walaupun ada yang masih mengekalkan pakaian tradisi, sebahagiannya cenderung memilih gaya moden dan kebanyakan mengandungi unsur Barat.
Majlis resepsi juga dilihat semakin popular seperti majlis perkahwinan yang diadakan di dalam taman dengan menjemput orang tertentu saja. Selain itu, majlis perkahwinan diadakan di hotel mewah, di atas kapal mewah, majlis persandingan dengan menaiki kuda dan pelbagai contoh yang lain dilihat sebagai salah satu pengaruh Barat yang dibawa ke dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu pada masa kini dan ia menjadi semakin popular di kalangan masyarakat Melayu.
Mutakhir ini juga ada unsur Barat dalam upacara majlis perkahwinan seperti barisan anak perempuan kecil berpakaian seragam yang mengiringi mempelai sambil membawa bunga. Dan yang terbaru acara flash mob’ dalam majlis perkahwinan, iaitu sekumpulan orang ramai yang berhimpun secara mengejut untuk melakukan persembahan yang aneh dan tidak disangka-sangka seperti menari dan sebagainya.
Budaya flash mob berasal dari Barat. Di Amerika, ia sudah membentuk satu budaya yang diterima ramai. Improv Everywhere yang ditubuhkan Charles Tod pada 2001 di Amerika Syarikat ialah kumpulan pertama yang mula menganjurkan flash mob. Antara flash mob Improv Everywhere yang pernah mendapat perhatian berjudul No Pant pernah mendapat perhatian seluruh dunia terutama warga New York, apabila sekumpulan warganya tanpa rasa segan menanggalkan seluar ketika menaiki subway.
Perubahan ini berlaku mungkin disebabkan perubahan kehidupan dan pemikiran masyarakat yang semakin maju dan seiring dengan kemodenan hidup. Cara hidup yang lebih moden, tidak mempunyai tenaga yang banyak, dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan upacara perkahwinan mengikut cara tradisional.
Perkahwinan secara moden dikatakan lebih mudah. Hanya perlu menyediakan wang secukupnya untuk memastikan majlis perkahwinan dapat berjalan lancar. Kebanyakan lebih gemar menyerahkan persiapan majlis perkahwinan, kelengkapan perkahwinan dan penyediaan makanan sepenuhnya kepada pihak tertentu, disebabkan oleh faktor kekangan masa dan memerlukan tenaga kerja yang banyak untuk mengelolakannya.
Lantaran itu, syarikat yang menawarkan pakej perunding perkahwinan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Juga berlaku kes pihak yang kerugian ribuan ringgit akibat diperdaya oleh perunding perkahwinan dengan menawarkan pakej ‘harga runtuh’ dengan pakej yang tidak munasabah.
Fenomena juga adalah antara faktor penyebab hantaran perkahwinan menjadi semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Walaupun zaman berubah dan masyarakat semakin moden, Islam menyediakan asas panduan yang jelas yang sesuai digunakan sepanjang zaman.
Kenduri perkahwinan dalam Islam dikenali sebagai ‘walimah’ hukumnya adalah sunnah. Ibnu Qudamah dalam Kitab al-Mughni pernah berkata: “Tiada perbedaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkawinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut) bukan wajib.
Kenduri walimah sunat dilakukan sesuai dengan kemampuan pihak terlibat terutama suami. Kenduri walimah adalah sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT dan sebagai bukti kecintaan kepada Rasulullah SAW. Maka dalam pelaksanaannya harus sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW, bukannya menyimpang dari aturann yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Majlis walimah perlu bersih daripada hal dilarang Islam, terhindar daripada unsur maksiat, kemusyrikan atau khurafat, tidak menghadirkan hiburan dilarang, tidak disertai makanan atau minuman yang diharamkan Islam.
Sebagai suatu ibadah, walimah tidak hanya bertujuan berkumpul dan memenuhi undangan makan semata-mata, tetapi pada masa sama dapat memberi nilai tambah terhadap hadirin untuk menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur atas segala kenikmatan yang dianugerahkan kepada semuanya, termasuk memperoleh keberkatan dari acara walimah tersebut.
Islam melarang penganjuran walimah yang hanya mengundang orang tertentu, mengundang orang kaya dan terhormat saja dan tidak mengundang fakir miskin, sekalipun masih termasuk kerabat atau tetangga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sejelek-jelek makanan ialah makanan walimah yang hanya mengundang orang kaya tetapi meninggalkan orang miskin “(HR Bukhari dari Abu Hurairah RA)
Islam juga melarang percampuran antara tetamu undangan sehingga memungkinkan terjadinya interaksi antara tetamu lelaki dan perempuan bukan mahram bersenda gurau dan membicarakan hal tidak syar’i.
Perubahan upacara perkahwinan dan cara berpakaian mempelai perlu disesuaikan dengan tuntutan agama.
Kebahagiaan rumah tangga bukan bergantung kepada cara majlis perkahwinan diadakan, tetapi bagaimana kebahagiaan tersebut dapat dikekalkan. Tuntutan kesederhanaan adalah dalam semua aspek kehidupan, termasuk majlis perkahwinan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad), satu umat pilihan lagi adil, (umat pertengahan) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia.” (al-Baqarah:143)
* Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)