Pasangan kekasih perlu buat pertimbangan sebelum bernikah
BARU-BARU ini Pergerakan Puteri Umno menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok, Indonesia berikutan trend kahwin lari membabitkan gadis tempatan dengan lelaki dari wilayah terbabit semakin membimbangkan kini.
Puteri Umno memperoleh maklumat mendakwa kira-kira 500 wanita Malaysia berada di Lombok sekarang ini, akibat terjerat ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah berkenaan ketika mereka bekerja di negara ini.
Isu sama ada perangkaan itu sahih atau tidak bukan menjadi soal. Isunya kesan buruk atau impak perkahwinan seperti ini harus dikaji dengan lebih teliti kerana ia mungkin memberi banyak kemudaratan daripada kebaikan terutama kepada anak gadis kita ini.
Dikatakan gadis Malaysia, berusia 13 hingga 30 tahun sanggup meninggalkan keluarga masing-masing gara-gara berkahwin dengan lelaki Lombok dan terpaksa mengharungi penderitaan sepanjang berada di negara orang.
Perkahwinan di antara anak gadis negara kita dengan lelaki dari Lombok dikaitkan dengan percintaan. Benarlah kata pepatah ‘cinta itu buta’ kerana ia memang dapat membutakan mata hati dan fikiran manusia tanpa memikirkan kesan atau impak perkahwinan secara mendalam.
Satu impaknya ialah pernikahan di Lombok dikaitkan dengan trend kahwin lari. Ini bermaksud kahwin lari tanpa mendapat restu keluarga terutama wali. Harus diingat wali adalah elemen penting dalam pernikahan.
Trend pernikahan ini yang membabitkan perwalian dan wali tidak hadir di dalam pernikahan. Jika tiada wali bagaimana dengan kesahihan pernikahan itu? Siapakah wali kepada gadis-gadis berkenaan? Adakah wali hakim? Sekiranya wali hakim, adakah wali itu mempunyai kuasa mewalikan secara wali hakim atau mempunyai tauliah sebagai wali hakim.
Asasnya, sesuatu pernikahan itu boleh dilakukan di mana-mana tempat yang dipilih pasangan asalkan pernikahan mereka memenuhi rukun nikah dan syaratnya. Bagaimanapun, bagi memastikan pernikahan itu diakui, kebenaran melangsungkan pernikahan hendaklah diperoleh terlebih dulu mengikut proses undang-undang.
Pernikahan luar negara mempunyai kesan iaitu memungkinkan pasangan dipisahkan jika pernikahan itu tidak sah dan pasangan dikenakan denda atau penjara, serta sukar mendapat hak suami atau isteri. Lantaran itu setiap pasangan yang bercadang mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah, sepatutnya memikirkan kesan pernikahan itu secara mendalam sebelum tindakan nekad diambil, bagi mengurangkan masalah lain yang mungkin timbul kelak.
Perkara ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia memberi impak kepada pengesahan pernikahan. Itu dari sudut pengesahan dan pastinya dari sudut perundangan pula ia berlawanan dengan peruntukan undang-undang negara kita.
Pernikahan di luar negara tanpa kebenaran menjadi kesalahan mengikut Akta/Enakmen Keluarga Islam melainkan perkahwinan dijalankan mengikut lunas undang-undang ditetapkan. Antara kesan perkahwinan dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan.
Tujuan pendaftaran bukan sekadar satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah, ia adalah rekod yang mensahihkan perkahwinan itu bukan saja menurut undang-undang negeri malah menepati hukum syarak.
Selain itu, perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang. Ia bermaksud pihak perempuan tidak akan mempunyai hak sebagai isteri dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah.
Pihak perempuan tidak akan dibenarkan menuntut nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah perkara yang mudah terutama sekiranya ia dilakukan di luar negara, tanpa wali hadir atau tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.
Sekiranya mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah, ia akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.
Perkahwinan di luar negara atau negeri bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap ringan. Ramai tentu tahu mengenai perkahwinan sindiket oleh kadi tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tidak sah. Perkara ini bukan saja kerana pasangan tidak berhati-hati malah kerana berlaku penipuan.
Perkahwinan adalah tanggungjawab dan setiap pasangan harus memikul dengan sebaiknya, bukannya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Peraturan dan undang-undang bukan bertujuan menyusahkan atau membebankan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya kemudaratan yang lebih berat.
Kita tidak mahu mendengar cerita anak diabaikan nafkahnya, isteri yang tidak boleh menuntut harta atau pusaka arwah suami, serta anak dilahirkan tanpa berbinkan atau berbintikan ayah kandungnya.
Kesimpulannya, perkahwinan yang hanya berlandaskan cinta semata-mata tidak wajar dijadikan trend kerana perkahwinan itu suci, diselubungi dengan tanggungjawab dan amanah Allah.
Kita tidak mahu ramai anak gadis mengorbankan masa depan mereka dan anak-anak yang bakal lahir termasuk menyebabkan ibu muda terpaksa membesarkan anak bersendirian apabila dibawa pulang ke tanah air kelak.
Lebih malang sekiranya pernikahan terbabit tidak sah dari segi hukum syarak mahupun berlawanan dengan undang-undang. Justeru, jika inilah impak perkahwinan di Lombok, maka saranan Puteri Umno yang mahu KDN membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok sangat wajar dan perlu diberi perhatian.