Pendahuluan
Pandemik Covid -19 merupakan satu ujian besar dalam mengharungi survival hidup pada tahun 2020. Cabaran ini telah menjejaskan sebahagian besar kerjaya dalam kepelbagaian sektor ekonomi dan menjadi batu penghalang bagi ekonomi kecil untuk terus bertahan mengharungi cabaran getir selaku pemain utama dalam menggerakkan ekonomi negara. Kendatipun begitu, kerjaya selaku Peguam Syarie yang seringkali dilihat sebagai antara sektor yang agak kukuh di dalam pasaran perkhidmatan sebelum ini telah mengalami kesulitan apabila kehadiran pandemik ini benar-benar memberi impak terhadap kerjaya profesionalisme dalam bidang kepeguaman.
Dalam satu laporan yang dilaporkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), keadaan ekonomi yang sangat perlahan pada tahun 2020 merupakan dampak yang paling besar dalam pergolakan sosisoekonomi negara, sama ada dalam bidang makroekonomi mahupun mikrekonomi. Keadaan ini membawa kepada kemerosotan kuasa beli, mengecilkan pendapatan isi rumah dan seteruskan kadar kebolehupayaan rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan adalah sangat rendah.
Malahan, dalam sirkulasi ekonomi dan perkembangan bilangan Paguam Syarie, penawaran terhadap perkhidmatan guaman syarie adalah semakin tinggi setiap tahun menyebabkan pilihan di tangan pengguna adalah lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini. Maka, Permintaan yang bersifat malar setiap tahun boleh menyebabkan kadar fee guaman syarie adalah lebih rendah kerana persaingan perkhidmatan yang ditawarkan menjadi semakin tinggi. Dari satu sudut, fenomena ini adalah satu dinamika yang sangat baik bagi dunia perundangan syariah. Namun bagi satu sudut yang lain, kuasa beli pengguna menjadi lebih rendah dengan kehadiran pandemik COVID-19 dan keupayaan ini mengecilkan kemampuan pengguna untuk mendapatkan khidmat Peguam Syarie.
Kerjaya Peguam Syarie
Kerjaya sebagai Pengamal Guaman Syarie adalah satu bentuk perkhidmatan yang ditawarkan dalam satu industri litigasi undang-undang. Kerjaya ini adalah satu bentuk penawaran perkhidmatan bagi mewakili mana-mana pihak yang bertelingkah di Mahkamah Syariah mengenai hak, liabiliti dan kepentingan pihak-pihak dalam pertikaian di Mahkamah Syariah.
Secara generalisasinya, kerjaya selaku Peguam Syarie hanya berkait rapat dengan litigasi yang termaktub di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah setiap negeri. Ruang lingkup kerjaya guaman syarie adalah jauh lebih kecil berbanding Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Mahkamah Sivil yang telah diberikan kuasa untuk menjalankan pertelingkahan ataupun kes-kes di Mahkamah Sivil di Malaysia, berbanding Peguam Syarie yang bergantung kepada tauliah mengikut negeri-negeri yang beramal.
Dari konteks pendapatan, kerjaya Peguam Syarie adalah bergantung kepada pembayaran fee guaman yang akan dibuat oleh palanggan masing-masing mengikut jumlah bil yang dihantar dan kes yang dikendalikan oleh firma guaman masing-masing. Maknanya, kebergantungan pendapatan selaku pengamal undang-undang Syariah adalah tertakluk kepada kemampuan pelanggan untuk membayar perkhidmatan mereka dari masa ke semasa.
Menurut satu tinjauan rawak yang dibuat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia pada Mac sehingga Julai tahun 2020, sebahagian besar Peguam Syarie menghadapi masalah dalam meneruskan amalan professional masing-masing. Hal ini adalah kerana pengoperasian Mahkamah Syariah dihentikan sementara dan pergerakan bersama dengan pelanggan masing-masing adalah terbatas dan terhad.
Prospek Kerjaya Guaman Syarie
Bagi sesetengah Peguam Syarie, pendapatan mereka selaku professional tidak tertakluk hanya kepada pengurusan pejabat Peguam Syarie dan kes di mahkamah semata-mata. Ada Peguam Syarie juga bertindak sebagai ahli akademik (pensyarah), konsultan, penulis artikel dan menjalankan aktiviti ekonomi yang lain seperti perniagaan makanan dan minuman dan sebagainya.
Secara tidak langsung, hal ini sedikit sebanyak membantutkan pendapatan Peguam Syarie, khususnya golongan Peguam Syarie muda yang masih baru dalam industri guaman ini. Dalam konteks ini, kesukaran bagi Peguam Syarie muda, pelajar yang masih mencari tempat untuk menjalankan proses praktikum atau pelajar yang menjalani latihan undang-undang (chambering) menjadi sukar apabila kebarangkalian majikan untuk menerima mereka dengan upah yang berpatutan adalah semakin rendah. Hal ini adalah kerana prospek keupayaan majikan untuk membayar upah kepada golongan ini adalah agak terbatas kerana kesan daripada pengimplimentasian Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan.
Secara asasnya, desakan hidup akibat COVID-19 telah memaksa golongan professional ini mengorak langkah lebih jauh kerana kebergantungan tunggal terhadap litigasi mahkamah tidak boleh menjamin pendapatan yang selesa, khususnya ketika pandemik ini masih ada. Malahan, pendapatan sampingan perlu dijana atas kepakaran dan kemahiran masing-masing yang perlu ditambahbaik agar pendapatan dapat dijana sepanjang tempoh yang mencabar.
Kreativiti mencambahkan pendapatan boleh dijana oleh mana-mana Peguam Syarie yang komited dalam apa-apa cabang perniagaan yang diceburi sama ada menawarkan barangan atau perkhidmatan dalam kalangan pengguna. Sebagai contoh, ada Peguam Syarie yang membuka perniagaan gerai makan, mengusahakan makanan sejuk beku, dan meneruskan perniagaan lain seperti Multi Level Marketing. Bagi Peguam Syarie yang sebelum ini mempunyai kerjaya sampingan lain, kemungkinan hal ini bukan satu masalah yang besar.
Secara ironinya, Peguam Syarie perlu menghadkan prospek pemasaran bagi perniagaan lain kerana Peguam Syarie masih terikat dengan etika yang tidak membenarkan mereka menceburi perniagaan atau tred lain yang boleh mengganggu kerjaya mereka sebagai Peguam Syarie. Namun, berdasarkan beberapa temubual tidak rasmi yang diterima, rata-rata Peguam Syarie yang menjalankan perniagaan sampingan ini tidak mengabaikan peranan hakiki mereka sebagai pengamal undang-undang sebagaimana yang diperundang-undangkan. Malahan, perniagaan sambilan ini menjadi batu loncatan bagi mereka untuk mendapatkan imbuhan kewangan bagi meneruskan hidup, atau setidak-tidaknya membantu menampung kos operasi firma
Prospek Firma Guaman Syarie
Sebagaimana yang dimaklumi, Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diarahkan oleh Kerajaan Malaysia terdahulu telah menyebabkan proses firma guaman terjejas. Dalam hal ini, firma guaman juga terkesan dan ada antara firma guaman yang terpaksa mengecilkan skop pengoperasian kerana pendapatan yang diterima semakin kecil. Tidak cukup dengan itu, arahan dari Kerajaan Malaysia yang mengehadkan kehadiran staf ke mahkamah (khususnya di Lembah Klang) pada asasnya menyukarkan proses operasi syarikat.
Pun yang demikian, dengan bantuan alat telekomunikasi dan peranti mudah alih yang menghubungkan pekerja-majikan-pelanggan seperti peranti video untuk mesyuarat, penyemakan dokumen dan pelbagai cara telekomunikasi banyak membantu firma untuk beroperasi dengan lebih baik.
Peguam Syarie juga percaya bahawa proses e-filing lebih meudahkan proses dokumentasi di Mahkamah. Pihak PGSM juga percaya Jabatan Kehakiman Negeri-Negeri mempunyai alternatif terbaik bagi mengimbangkan urusan perbicaraan secara bersemuka dan secara telekomunikasi dan kerisauan jangkitan wabak Covid-19 di pejabat masing masing.
Kesimpulan
Secara tuntasnya, pendemik Covid-19 sememangnya menjadi ancaman kepada pelbagai kerjaya, termasuk Guaman Syarie dan operasi Firma Guaman. Amalan kelaziman baharu (New Norm) perlu diimbangkan dalam kerjaya dan profesionalisme guaman syarie untuk dijadikan indikator kekuatan survival Peguam Syarie di Malaysia. Sebagai seorang Peguam Syarie yang professional, amalan tidak pernah membataskan kreativiti seorang pengamal undang-undang untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang mendatangkan keuntungan kepada kerjaya seorang Peguam Syarie asalkan hal tersebut tidak melanggar etika dan norma sebagai seorang pengamal undang-undang seperti yang telah diperundang-undangkan. Firma Guaman juga perlu menggunakan kemudahan telekomunikasi sebagai salah satu medium terbaik untuk meneruskan amalan tempat kerja yang berkesan.