Tak perlu undang-undang intip telefon pasangan

Harian Metro

5 Apr 2018

Kuala Lumpur: Malaysia tidak memerlukan undang-undang khusus untuk mengawal tindakan suami atau isteri yang mengintip telefon bimbit pasangan masing-masing.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang, berkata sebagai suami isteri, pasangan tidak sewajarnya ada rahsia lebih-lebih lagi bagi orang Islam.

“Jika ia membabitkan pasangan suami isteri, daripada segi Islam atau syarak tidak perlu ada rahsia di antara satu sama lain.

“Jika undang-undang seperti ini diwujudkan ia hanya akan menimbulkan masalah lain pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Musa mengulas mengenai undang-undang baru yang diwujudkan di Arab Saudi minggu lalu yang mana setiap suami atau isteri akan dikenakan tindakan jika didapati bersalah mengintip telefon bimbit pasangan.

Undang-undang itu disahkan sendiri oleh Kementerian Penerangan Arab Saudi menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, jika sabit kesalahan individu terbabit boleh didenda sehingga 500,000 riyal (RM516,000) dan penjara setahun.