Harian Metro
2 Mar 2018
Kuala Lumpur: Bukan saja pelakon dan pengacara popular, Neelofa boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997), malah mereka yang berada di dalam majlis pelancaran tudung itu juga berdepan dengan tindakan sama.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, Neelofa dan mereka yang terbabit di dalam majlis itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7, akta berkenaan.
“Dia (Neelofa) dan mereka yang lain boleh didakwa kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina. Bukan saja Neelofa, tetapi mereka yang terbabit di dalam majlis itu kerana menampakkan seolah-olah agama Islam dipandang hina apabila melancarkan simbol kepada penganut agama Islam (bertudung) dengan acara tarian dan berdansa dalam keadaan bertudung.
“Perkara yang baik dan kewajipan dalam agama, tetapi dibawa masuk ke tempat yang berunsur maksiat,” katanya yang mengulas berhubung kontroversi majlis pelancaran koleksi Naelofar Hijab, Be Lofa yang berlangsung di pusat hiburan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Bagaimanapun, Musa berkata, Seksyen 7 (a) meletakkan beban pembuktian yang kuat kepada pihak pendakwaan kerana peruntukan itu terlalu subjektif, dan ia perlu dibuktikan sejauh mana perlakuan Neelofa atau penganjur itu dikatakan sebagai menghina agama Islam.