KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), berharap Peguam Negara yang baru dilantik, Tommy Thomas, akan memperkasakan Undang-undang Syariah negara.
Sambil mengalu-alukan pelantikan peguam terkemuka itu, Presiden PGSM, Musa Awang, berkata banyak isu perundangan Syariah di peringkat nasional dan negeri yang perlu dilihat semula.
“Penambahbaikan perlu dilakukan dalam organisasi terutama badan penasihat Syariah di Pejabat Peguam Negara bagi melihat pelbagai isu perundangan Syariah di peringkat negara dan negeri.
“Antaranya melihat semula desakan untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie (APGS) yang sudah lama tertangguh,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, isu pelantikan Thomas yang membabitkan institusi istana seharusnya berlaku secara tertutup dan penuh adab.
“Kami merakamkan sembah junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, kerana berjaya menyelesaikan isu pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamaed Apandi Ali.
“Kuasa Yang di-Pertuan Agong disebut dalam Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, menetapkan bahawa Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara,” katanya.