Wujudkan akta khusus kawal selia peguam syarie

KUALA LUMPUR: Pengwujudan Akta Profesion Guaman Syarie (APGS) bagi mengawal selia secara tuntas lebih 4,000 peguam syarie di seluruh negara perlu menjadi antara perkara utama disentuh dalam penubuhan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata apa yang perlu diberi perhatian ialah cadangan menggubal APGS yang terpakai di seluruh negara, menggunakan peruntukan Perkara 76 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“PGSM menyambut baik usaha kerajaan menubuhkan JKMMS kerana usaha meningkatkan sistem perundangan kehakiman Syariah di negara ini perlu selari dengan usaha memartabatkan profesion guaman syarie secara holistik.

“Ia boleh dilakukan dengan mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie (APGS) bagi mengawal selia lebih 4,000 orang peguam syarie di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PGSM dan wakil PGSM negeri perlu dibabitkan secara serius dalam jawatankuasa berkenaan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengumumkan penubuhan JKMMS yang selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penubuhan JKMMS dipersetujui Kabinet semalam, dalam usaha memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan.

Sumber: bharian.com.my